Berlapang dada, hormati pilihan pengundi

Wajah-wajah pengundi pelbagai peringkat umur yang selesai menjalankan tanggungjawab mengundi sempena PRN enam negeri pada Sabtu. - Foto: Bernama
Wajah-wajah pengundi pelbagai peringkat umur yang selesai menjalankan tanggungjawab mengundi sempena PRN enam negeri pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

PILIHAN RAYA NEGERI (PRN) di enam negeri sudah berakhir. Keputusan yang diumumkan malam Sabtu lalu menjawab segala tanda tanya parti mana yang bakal berkuasa di negeri-negeri tersebut.

Suka atau tidak, gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) masih mengekalkan kuasa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sementara Perikatan Nasional (PN) meneruskan penguasaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Keputusan 3-3 tersebut nampaknya hampir menyamai hasil dapatan kajian Badan penyelidikan Ilham Centre yang dilaporkan Sinar Harian pada Jumaat lalu, sehari sebelum hari pembuangan undi.

Selain Ilham Center, Institut Penyelidikan Endeavour-MGC (EMGC) juga ada membuat kajian seperti mana dilaporkan Sinar Harian pada 11 Ogos 2023. Ramalannya juga hampir tepat iaitu mengenai trend pilihan pengundi di Selangor tidak jauh berbeza dengan corak pengundian semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Walaupun dua kajian berkenaan tidak dipersetujui sesetengah pihak, terutama kerana tidak menyebelahi mereka, tapi itulah namanya kajian. Ia tidak akan tepat sepenuhnya tetapi hasil kajian boleh dijadikan panduan untuk part-parti bertanding untuk melihat sejauh mana trend pengundian.

Selepas keputusan PRN di enam negeri dikeluarkan, barulah terdengar suara-suara yang menyedari bahawa kajian dijalankan sedikit sebanyak ada betulnya.

Namun, walau apa pun kajian dilakukan, keputusan akhir sebenarnya terletak di tangan pengundi sendiri untuk menentukan. Keputusan PRN kali ini merupakan terjemahan rakyat terhadap calon atau parti politik yang bertanding, serta tahap kepuasan hati terhadap kerajaan negeri sedia ada.

Adat pertandingan, ada menang dan ada yang kalah. Suka atau tidak, semua pihak harus berlapang dada menghormati mandat rakyat dalam PRN kali ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi wakil rakyat yang menang, tiada masa lagi untuk 'berbulan madu'. Banyak masalah-masalah rakyat yang harus diselesaikan segera, antaranya kos sara hidup rakyat.

Bagi wakil rakyat yang sudah melontarkan janji-janji ketika kempen PRN lalu, tunaikanlah.

Tempoh lima tahun tidak lama, tapi itu kalau masih asyik berpolitik. Tetapi kalau masa tersebut digunakan sebaik-baiknya, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk manfaat rakyat.

Semoga keputusan PRN kali ini membawa kebaikan untuk rakyat dan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!