Masa untuk kibar Jalur Gemilang
BAHANG pilihan raya negeri (PRN) enam negeri di Semenanjung Malaysia sudah pun melabuhkan tirai. Pengundi sudah membuat pilihan masing-masing dan kini masa wakil rakyat yang dipilih mula melaksanakan amanah dan tanggungjawab diberikan rakyat.
Sepanjang kempen dua minggu lalu, suasana di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan nampaknya meriah dengan bendera-bendera pelbagai parti politik. Kini selepas pengundian selesai, semua calon yang bertanding mempunyai masa 14 hari lagi untuk membersihkan semua bahan-bahan kempen termasuk bendera.
Namun, di sebalik bendera-bendera parti yang masih berkibar di kawasan-kawasan perumahan dan tempat awam, tidak pula kelihatan bendera Malaysia berkibar megah.
Mungkin kita lupa bahawa kita sedang berada di bulan Ogos. Bulan sambutan kemerdekaan negara. Ya, memang masih banyak lagi masa untuk menuju 31 Ogos, tapi itu tidak sepatutnya dijadikan alasan sehingga melupakan sambutan hari penting dalam sejarah negara ini.
Walaupun sambutan Hari Kebangsaan berbaki lebih kurang 20 hari lagi, tanpa kita sedar, tahap kepedulian masyarakat terhadap ulang tahun kemerdekaan ke-66 pada tahun ini sedikit mengecewakan kerana kemeriahan yang sepatutnya dirasai seawal 1 Ogos lalu tidak berlaku.
Malah, tumpuan masyarakat lebih terarah kepada situasi politik, perbincangan tidak formal mengenai kepemimpinan negara, pembinaan stigma mengenai pertukaran kerajaan, rasuah serta salah guna kuasa.
Manakan tidak, isu-isu berkenaan rancak dibualkan dalam laman media sosial, menjadi tajuk utama di dada akhbar, portal berita, malah menjadi bualan masyarakat tatkala menghirup segelas kopi bersama rakan-rakan.
Mungkin ada sesetengah individu yang peduli tentang hari bersejarah negara tetapi ibaratnya boleh dibilang dengan jari berapa banyak kepedulian itu disuarakan, seolah-olah ia hanya tajuk kurang penting untuk dibincangkan.
Penulis masih ingat ketika masih di bangku sekolah hampir 30 tahun lalu, masuk sahaja bulan Ogos, pelbagai aktiviti berlangsung tidak kira di peringkat sekolah, pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan negeri sebagai usaha membangkitkan kesedaran dan ingatan masyarakat kepada pejuang yang berkorban untuk membebaskan tanah air.
Bendera Malaysia dikibarkan di tepi-tepi jalan, premis perniagaan dan bangunan kerajaan. Bukan itu sahaja, aktiviti rakyat juga turut dilangsungkan terutama yang mengingatkan kita tentang pengorbanan tokoh-tokoh yang cekal memperjuangkan kemerdekaan tanah Melayu.
Tayangan filem bergenre patriotik, dendangan lagu-lagu patriotik, penceritaan sejarah jasa tokoh seperti Tok Janggut, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong dan Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman yang bukan hanya perlu dikenang, tetapi menginsafi perjuangan mereka demi memartabatkan Malaysia.
Mungkin sukar untuk masyarakat masa kini merasai pengorbanan tokoh terdahulu, namun kita masih boleh mengambil pengajaran dan mempraktikkan nilai murni yang menjadi teras kepada perjuangan mereka ketika menuntut Merdeka.
Dengan mengenali dan memahami sejarah serta perjuangan tokoh terdahulu, penulis yakin rakyat akan rasa lebih bersyukur atas kemudahan dinikmati ketika ini selain menghargai usaha untuk mengharmonikan negara pelbagai kaum.
Seiring kemajuan teknologi masa kini, diharapkan usaha yang lebih efisien dapat dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab terutama kerajaan menerusi kementerian atau agensi di bawahnya untuk menghidupkan semula aktiviti sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Ia sangat penting bagi memastikan golongan anak muda tidak lupa akan sejarah negara. Bukan apa, dengan ledakan teknologi terutama media sosial ketika ini, penulis bimbang sifat patriotik golongan itu akan lenyap ditelan arus zaman.
Menjelang 31 Ogos ini, seharusnya menjadi klimaks kepada rasa cintakan negara dan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat perlu terus disemai.
Walaupun kini di enam negeri sedang sibuk untuk membentuk kerajaan, namun jangan dibiarkan permainan politik melunturkan semangat kemerdekaan kita.
Tunjukkan kita adalah rakyat yang sentiasa dalam keadaan majmuk, harmoni dan bersatu padu dengan berpegang kepada Perlembagaan negara, seterusnya bangga menjadi rakyat Malaysia.
Jangan kerana terlalu sibuk berpolitik sampai lupa hari bersejarah Malaysia.
Pilihan raya pun sudah selesai, jadi eloklah kita mula menghayati semangat merdeka dengan mengibarkan jalur gemilang, hayati perjuangan tokoh negara dan laungkan semangat kemerdekaan.
* Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!