3,000 tan sampah sehari dibuang sepanjang Ramadan

Mohd Zain (kiri) dan Dr Shahruddin (tengah) mengagihkan bubur lambuk percuma di Bazar Ramadan Jalan Raja dan Dataran Merdeka, hari ini.
Mohd Zain (kiri) dan Dr Shahruddin (tengah) mengagihkan bubur lambuk percuma di Bazar Ramadan Jalan Raja dan Dataran Merdeka, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 3,000 tan sampah sehari dihasilkan di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang sepanjang Ramadan ini.

Jumlah itu mencatat peningkatan 500 tan sampah sehari dibuang berbanding purata 2,500 tan sampah dihasilkan pada hari biasa di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan berkata, makanan tidak dihabiskan yang dijual di bazar Ramadan penyumbang utama peningkatan sampah terhasil selain sisa plastik dan polistirena.

"Kami jangka tren pembuangan sisa pepejal meningkat hingga 500 tan sehari sepanjang bulan Ramadan ini di ketiga-tiga kawasan konsesi syarikat.

"Makanan tidak berusik yang dijual di bazar Ramadan adalah antara penyumbang kepada peningkatan sampah dalam sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk percuma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Jalan Raja dan Dataran Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Menurutnya, peningkatan pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan jelas menunjukkan pembaziran makanan dan rakyat negara ini harus mengubah sikap dan budaya membeli makanan berlebihan.

Artikel Berkaitan:

“Kami di Alam Flora sentiasa didik orang ramai supaya berjimat cermat dan tidak mengikut nafsu ketika membeli makanan.

“Orang ramai juga digalak menggunakan bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Zain berkata, pihaknya memberi jaminan pungutan sampah dan kerja pembersihan berjalan seperti biasa ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!