JDT perlu terus berikan aksi terbaik - Solari
BIARPUN semakin hampir menggapai sasaran merangkul trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, namun skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), tetap mahu memberikan aksi terbaik pada baki aksi saingan liga musim ini.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, perkara berkenaan turut ditegaskan kepada kesebelasan pemain agar mereka tetap memberikan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi kelak.
“Kita telah bercakap mengenai perkara ini dengan pemain dan semua mengetahui bahawa kita semakin hampir dengan sasaran utama kita musim ini iaitu untuk memenangi trofi Liga Super.
“Cuma saya selalu tekankan supaya jangan sesekali memandang rendah kepada mana-mana pasukan kerana ia bukannya satu tugas yang mudah...khususnya untuk menjaringkan lima gol dalam setiap perlawanan, tetapi pemain kita berjaya melakukannya.
“Mereka (pemain), juga turut mempamerkan aksi offensive (menyerang) selain turut memberikan tekanan kepada lawan,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi Liga Super berdepan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, yang menyaksikan JDT menang 5-0, pada Ahad.
Untuk rekod, JDT kini gah di puncak liga dengan 60 mata hasil 20 kemenangan berturut-turut dan dilihat semakin hampir untuk mendakap trofi Liga Super kali ini.
Justeru, aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman FC (KDAFC), 26 Ogos depan dilihat sebagai perlawanan penting bagi mengesahkan kejuaraan.
Sementara itu, Solari berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya mengemudi sebuah pasukan yang sedang dalam perjalanan melakar sejarah tersendiri dengan mencatatkan rekod tanpa kalah selain ‘dalam proses’ untuk merangkul kesemua kejohanan utama yang dipertandingkan.
Bagaimanapun katanya, kesemua perkara berkenaan juga merupakan hasil kerja keras yang dipamerkan skuad Harimau Selatan itu selama ini.
“Saya akui, saya tidak pernah berada dalam situasi seperti ini sama ada ketika bergelar pemain mahu pun sebagai jurulatih.
“Apa pun, kredit juga perlu diberikan kepada semua pihak khususnya pemain yang sentiasa bertungkus lumus untuk meningkat dari segi prestasi dan harapan kita agar kita dapat ‘melakukannya’ di Kedah dan kemudiannya dapat meraikannya lebih awal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!