Ringgit dibuka rendah menjelang pengumuman KDNK Jumaat ini
RINGGIT dibuka rendah sedikit pada pagi urus niaga Isnin dalam situasi sentimen berhati-hati menjelang pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk suku kedua 2023 pada Jumaat, kata penganalisis.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6000/6075 berbanding dolar AS daripada 4.5865/5895 Jumaat minggu lepas.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penganalisis meramalkan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2023 meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 3.6 peratus daripada 5.6 peratus pada suku pertama.
"Selain itu, pelabur akan memantau beberapa data dari China yang akan dikeluarkan termasuk Pelaburan Aset Tetap yang diunjur kekal pada 3.8 peratus bagi bulan Julai manakala Jualan Runcit pula kemungkinan meningkat 4.8 peratus pada Julai daripada 3.1 peratus sebelum ini.
"Sehubungan itu, kami berpendapat ringgit mungkin bergerak lemah dalam tempoh terdekat berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap prospek pertumbuhan global. Kami menjangkakan dagangan ringgit berbanding dolar AS akan berlegar sekitar RM4.58 hingga RM4.60 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.
Nilai mata wang tempatan merosot sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.1724/1778 daripada 3.1712/1735, susut berbanding pound Britain kepada 5.8337/8432 dariipada 5.8230/8268 pada Jumaat tetapi lebih tinggi berbanding euro kepada 5.0310/0392 daripada 5.0351/0384 sebelumnya.
Pada masa yang sama, nilai ringgit kebanyakan mengukuh berbanding mata wang Asean yang lain.
Ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3958/3984 daripada 3.3967/3991 pada penutupan urus niaga Jumaat dan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.2/302.8 daripada 301.3/301.6 sebelumnya.
Namun begitu, mata wang tempatan bergerak tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.16 daripada 8.14/8.15 dan tinggi berbanding baht Thai pada 13.0715/0984 daripada 13.0737/0871 pada Jumaat minggu lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!