Pertarungan Zuckerberg-Musk mungkin tak berlaku - Pemilik Meta
WASHINGTON - Selepas berminggu-minggu penuh debaran, khabar angin mengatakan pertarungan tinju antara jutawan, Mark Zuckerberg dan Elon Musk yang ditunggu-tunggu, dijangka tidak menjadi kenyataan, lapor United Press International (UPI).
Menerusi platform media sosial baharunya Meta Threads pada Sabtu, Zuckerberg berkata, sudah tiba masanya untuk melupakan pertarungan itu.
Pemilik Meta itu kerap berkongsi foto dan video latihannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Saya rasa kita semua boleh bersetuju Elon tidak serius dan sudah tiba masanya untuk melupakannya. Jika Elon serius mengenai pertarungan itu... beliau tahu cara untuk menghubungi saya,” kata Zuckerberg.
Zuckerberg berkata, pemilik UFC Dana White juga telah bersetuju untuk menjadikan pertarungan itu sebagai acara rasmi dan menyalurkan kutipan hasil pertarungan itu untuk tujuan amal, namun Musk belum mengesahkan tarikhnya.
Beliau juga berkata, Musk mencadangkan kedua-dua mereka berlatih di belakang rumah Zuckerberg.
Hantaran Zuckerberg itu dibuat seminggu selepas Musk mendakwa pertarungan tertutup itu (cage fight) akan disiarkan di X (dahulunya Twitter).
Dalam hantaran di Twitter pada Jumaat, beliau berkata, pertarungan itu akan diuruskan oleh yayasan Zuckerberg dan bukan UFC.
"Pertarungan akan diuruskan oleh yayasan saya dan Zuck (bukan UFC). Penstriman langsung akan dibuat di platform ini dan Meta. Ia umpama pertarungan di zaman Rom purba.
"Saya ada bercakap dengan Perdana Menteri Itali dan Menteri Kebudayaan. Mereka bersetuju mengenai lokasi epik itu,” menurut ciapan Musk.
Musk berkata, acara itu akan menghormati masa kini dan masa lampu Itali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!