Bursa Malaysia dibuka rendah kerana kekurangan petunjuk baharu
BURSA Malaysia memulakan dagangan Isnin agak tinggi tetapi turun selepas itu sejajar dengan prestasi pasaran serantau kerana pelabur masih berada di luar pasaran berikutan kekurangan petunjuk baharu, kata peniaga.
Pada jam 9.31 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.82 mata kepada 1,455.34 daripada 1,457.16 pada penutup Jumaat.
Indeks utama dibuka 0.03 mata lebih tinggi pada 1,457.19.
Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas bagaimanapun menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 298 berbalas 207, manakala 263 kaunter tidak berubah, 1,561 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 636.94 juta unit bernilai RM236.17 juta.
Menurut Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya, memandangkan pilihan raya negeri berakhir dengan keputusan status quo "3-3", FBM KLCI mungkin mempamerkan sedikit peningkatan kerana keputusan itu menunjukkan kestabilan kerajaan.
"Kami menjangkakan saham berharga rendah akan menyaksikan sentimen dagangan yang lebih baik dengan para pelabur mengambil semula pegangan masing-masing menjelang pengumuman pendapatan korporat.
"Namun begitu, keuntungan masih tidak menentu menjelang pengeluaran minit mesyuarat pertengahan minggu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat,” katanya.
.Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut 2.0 sen kepada RM9 dan RM9.78, Public Bank lemah 1.0 sen untuk mencatatkan RM4.15, CIMB lebih rendah 3.0 sen kepada RM5.58 dan Petronas Chemicals merosot 6.0 sen menjadi RM6.79.
Bagi saham aktif, Classita tidak berubah pada 9.0 sen, Advance Energy turun 2.0 sen kepada 15 sen, manakala UEM Sunrise menokok 3.0 sen kepada 57.5 sen dan Handal Energy peroleh setengah sen menjadi 20.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 4.06 mata kepada 10,691.07, Indeks FBMT 100 susut 6.58 mata menjadi 10,380.72 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 2.49 mata kepada 10,916.22.
Sementara itu, Indeks FBM 70 meningkat 18.45 mata kepada 14,005.38 dan Indeks ACE FBM menambah 4.77 mata kepada 5,348.92.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 25.69 mata kepada 16,271.29, Indeks Perladangan susut 21.54 mata untuk mencatatkan paras 7,065.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.02 mata kepada 167.34 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.34 mata kepada 831.19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!