Roslan angkat tema budaya dalam karya atas akrilik

A
A
A

Roslan sedang memegang karya lukisan akrilik yang bertajuk Pembuat Wau.
Roslan sedang memegang karya lukisan akrilik yang bertajuk Pembuat Wau.

KUALA LUMPUR - Malaysia sememangnya kaya dengan nilai budaya meliputi aspek makanan, bahasa, pakaian, pantang larang, seni bina, adat perkahwinan dan amalan agama.

Justeru untuk menghargai budaya tempatan, ia boleh diterjemahkan dalam pelbagai elemen, selain fotografi dan audio-visual, ia juga boleh diketengahkan dalam seni catan khususnya lukisan akrilik.

Menurut seorang pelukis, Roslan Razali menegaskan lukisan atau catan akrilik yang mengetengahkan elemen budaya bukanlah perkara baharu khususnya di luar negara yang amat menghargai karya seni lukisan dalam pelbagai genre.

“Saya gemar memilih elemen budaya kerana ia sangat dekat dengan kehidupan kita seharian dan wajarlah penggiat seni seperti saya mengangkat tema itu ke tatapan umum kerana ia mempunyai nilai estetika yang tersendiri.

“Tema budaya pelbagai bangsa dan etnik di Malaysia perlu dikomersialkan agar generasi hari ini dan masyarakat antarabangsa dapat melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan identiti dan keunikan budaya tersendiri.

“Saya kerap menyuntik elemen budaya dalam menghasilkan karya lukisan akrilik. Antaranya karya baru saya bertajuk ‘Pembuat Wau’ yang menampilkan pembuat wau bersama pelbagai jenis wau yang amat terkenal di Kelantan,” jelasnya yang merupakan graduan Fakulti Seni Persembahan, Universiti Malaya.

Menurut Roslan lagi, wau merupakan kraftangan dan permainan tradisional yang sangat signifikan dengan orang Melayu di beberapa negeri khususnya Kelantan dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila lukisan dengan subjek wau tersebut dipamerkan kepada khalayak, mereka akan cuba mencari keunikan wau tersebut yang sebenarnya mempunyai pelbagai jenis dan kategori.

“Sebagai contoh, kita mungkin beranggapan Malaysia hanya mempunyai wau bulan dan beberapa jenis wau sahaja, hakikatnya Malaysia mempunyai puluhan jenis wau dihasilkan. Dalam setiap karya lukisan yang saya hasilkan, saya gemar bereksperimen dengan teknik media campuran (mixed media) iaitu gabungan medium akrilik, cat minyak, pensel dan pelbagai bahan lain dalam menghasilkan karya lukisan,” katanya.

Roslan mengambil inspirasi pemandangan hutan konkrit di Kuala Lumpur yang bertajuk Senja di KLCC.
Roslan mengambil inspirasi pemandangan hutan konkrit di Kuala Lumpur yang bertajuk Senja di KLCC.

Terkini, Roslan mengambil bahagian dengan mempamerkan empat lukisan arkilik dalam pameran lukisan bertemakan “Warisan Kita, Budaya Kita” anjuran Art Market Malaysia.

Pameran yang diadakan di tingkat 2, Shop Four Season Place itu disertai seramai 80 orang pelukis.pelukis tempatan dan luar negara bermula pada1 Julai lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!