Mbappe kembali ke kem latihan PSG
KEM latihan Paris St Germain (PSG) kembali menerima kehadiran pemain sensasi, Kylian Mbappe selepas disisih daripada pasukan susulan kemelut kontrak dengan pengurusan kelab.
Kelab dan Mbappe mencapai keputusan positif menerusi satu perbincangan yang sangat membina demi masa depan kedua-dua pihak.
PSG pada Ahad mengesahkan Mbappe kembali ke pangkuan latihan pasukan utama dan penyerang itu dilaporkan bersedia untuk melanjutkan kontraknya dengan kelab tersebut.
“Perbincangan yang membina dan positif di antara PSG dan Kylian (Mbappe) sebelum perlawanan PSG-Lorient.
“Pemain itu dimasukkan semula ke dalam skuad latihan pasukan utama awal pagi Isnin,” ujar kelab menerusi laman sosial pada Isnin.
Masa depan kapten Perancis itu menjadi subjek spekulasi hangat sepanjang musim panas selepas dia melahirkan hasrat untuk berpindah ke Real Madrid.
Susulan itu Mbappe dihalang daripada menjalani latihan skuad senior di sebalik hubungan keruh kedua-dua belah pihak.
Mbappe berada di tempat penonton ketika PSG memulakan misi pertahanan kejuaraan Ligue 1 dengan keputusan kurang memberangsangkan apabila seri tanpa jaringan Lorient pad Ahad.
Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini ditawarkan 259 juta pound (RM1.5 bilion) oleh kelab Arab Saudi, Al Hilal ketika kontraknya bersama PSG berbaki setahun.
Mbappe menolak sebarang lanjutan kontrak dan boleh meninggalkan kelab secara percuma pada Januari depan, tetapi terbaharu dia dilaporkan sedia memberi komitmen kepada PSG hingga 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!