Padah buat aksi 'wheelie, remaja ditahan

Penunggang bersama motosikal yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut pada Ahad. - Foto Polis Trafik Kuantan
Penunggang bersama motosikal yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut pada Ahad. - Foto Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN -Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan sekitar bandar ini pada Ahad.

Suspek berusia 19 tahun dikesan melakukan aksi 'wheelie' sebelum perbuatannya dikesan dan berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, turut dirampas motosikal yang digunakan lelaki itu untuk tindakan lanjut.

"Sepanjang operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 malam pada Sabtu hingga awal pagi Ahad itu, sebanyak 80 motosikal diperiksa dan 131 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak sembilan motosikal yang didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 64 APJ disita," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Wan Mohd Zahari berkata, kesalahan menggunakan motosikal tanpa cermin merekod jumlah saman tertinggi dengan 34 kes sepanjang operasi itu.

"Seterusnya kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (30 kes), lesen memandu (22 kes), ubah suai motosikal (15 kes), ekzos (11 kes), penunggang bawah umur (5 kes), tiada insurans (2 kes) dan tidak memakai topi keledar(1 kes)," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi disertai 18 anggota bersama seorang pegawai itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!