Cari punca gaji rendah sebelum laksana DGP - Pakar ekonomi

Noor Azlan Ghazali.
Noor Azlan Ghazali.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta meneliti terlebih dahulu punca permasalahan gaji selain kesesuaian struktur, keberkesanan dan kelancaran pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebelum ia diumumkan sebagai dasar baharu negara.

Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, persoalan utama adalah punca gaji untuk kumpulan pekerja berkemahiran rendah yang meningkat dengan kadar perlahan atau rendah dan seakan-akan malar.

Menurutnya, jika ia berpunca daripada lambakan buruh asing, maka pelaksanaan DGP bukan penyelesaian bagi menangani gaji rendah.

“Selagi lambakan pekerja asing tidak ditangani, gaji akan kekal rendah. Sehingga kini terdapat sekitar 1.4 hingga 2.1 juta pekerja asing berdaftar dalam negara, namun jumlah sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi mencecah lima atau enam juta.

“Lambakan buruh asing ini menekan kenaikan upah dan secara langsung mengasak keluar rakyat Malaysia yang sepatutnya bekerja dalam kategori yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 7 Ogos lalu membincangkan cadangan DGP sebagai langkah menangani tahap pendapatan rakyat yang rendah, khususnya bagi kumpulan berkemahiran rendah seperti pekerja am, pembersihan, pengawal keselamatan, lanskap, penyelenggaraan dan lain-lain.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cadangan itu dibawa kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan bagi memperuntuk dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan dasar.

Tambah Noor Azlan, Singapura sering menjadi rujukan DGP namun timbul persoalan kesesuaian ia dilaksanakan di negara ini dari konteks permasalahan dan struktur pasaran buruh.

Artikel Berkaitan:

“Hampir 97 peratus perniagaan berdaftar di Malaysia ialah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan sekitar 48 peratus pekerja. Kumpulan sasar DGP iaitu pekerja berkemahiran rendah lazimnya dalam PKMS.

“Yang lebih menyukarkan ialah hampir 79 peratus dari PMKS ialah perusahaan mikro yang menggajikan kurang dari lima pekerja dan tidak tertakluk kepada peraturan gaji minima.

“Pasaran buruh Malaysia juga melibatkan sektor informal yang besar sekitar 3.5 juta pekerja dan akan menjadi kekangan pelaksanaan DGP. Ehwal formaliti ini perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan DGP hakikatnya adalah ‘campur tangan’ kerajaan dalam pengoperasian sektor swasta yang berkemungkinan besar memerlukan peruntukan fiskal tambahan kepada majikan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Gaji rendah beri kesan terhadap kualiti hidup

Sebahagian besar rakyat dibayar gaji rendah - Rafizi

Upah pekerja Malaysia rendah

Gaji permulaan rendah antara faktor simpanan rendah - KWSP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!