Penjaga bagi kanak-kanak didera di Johor belum dimuktamadkan

MELAKA, 14 Ogos -- Menteri Nancy semasa berucap pada Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antiganguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, pada Isnin. - Foto Bernama
MELAKA, 14 Ogos -- Menteri Nancy semasa berucap pada Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antiganguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Penjaga bagi kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, Johor Jumaat lepas belum dimuktamadkan walaupun waris telah dikenal pasti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sebelum ini melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan latar belakang bagi mengenal pasti waris mana yang akan menjaga kanak-kanak berkenaan.

" ... tetapi belum muktamadlah sehingga bila dia keluar dari situ (hospital), barulah akan dimuktamadkan (waris mana yang akan menjaga mangsa) tetapi kerja-kerja persediaan itu sudah ada daripada JKM (Johor)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalannya, Aiman Athirah Sabu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari.

Nancy berkata, kanak-kanak berkenaan sedang menerima rawatan di Wad Pediatrik Hospital Sultan Ismail ketika ini dan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, mangsa juga dikatakan mengalami trauma akibat penderaan itu, namun JKM akan melakukan kaunseling dan rawatan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan kanak-kanak berkenaan.

Sabtu lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera mangsa di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman dipetik sebagai berkata ibu kanak-kanak itu direman enam hari, manakala rakannya direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Budak mangsa dera terima rawatan sebelum diserah kepada waris

Polis berkas ibu, kenalan wanita disyaki dera kanak-kanak

KM kesan waris kanak-kanak mangsa dera

Budak tujuh tahun disyaki mangsa dera ibu bapa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!