Pekerja pembersihan tular buang sampah di Pantai Lido dibuang kerja
JOHOR BAHRU - Pekerja kontrak pembersihan yang membuang sampah daripada tong ke tepi Pantai Lido sebagaimana tular di media sosial pada Ahad telah dibuang kerja serta merta.
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan tindakan tegas telah diambil selepas pihaknya mengenal pasti pelaku serta syarikat kontraktor terbabit.
"MBJB telah mengeluarkan surat amaran kepada kontraktor berkaitan dan mengarahkan pihak kontraktor menandatangani surat aku janji bagi memastikan perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang.
"Kerja-kerja pembersihan semula di kawasan berkaitan telah diarah dilakukan dengan segera oleh pihak kontraktor pada hari kejadian," katanya.
Perbuatan pekerja pembersihan itu disedari seorang wanita yang menghentikan kenderaannya di tepi Pantai Lido berhadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas pulang bersenam.
Rakaman video berdurasi satu minit 22 saat mengundang rasa marah dan kurang senang dengan tindakan pekerja pembersihan terbabit yang mengambil langkah mudah membuang sampah di tepi pantai.
Lebih mengejutkan terdapat banyak sampah yang terkumpul di tepi pantai di mana keadaannya agak tersorok dengan semak samun dan benteng.
Perkongsian video terbabit telah menarik perhatian Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!