Pesawat MH122 terpaksa berpatah balik akibat 'gangguan' penumpang
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pesawat Malaysia Airlines MH122 yang berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, Australia terpaksa berpatah balik berikutan gangguan daripada penumpang di dalam pesawat.
Malaysia Airlines dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pihak berkuasa tempatan sedang menilai situasi itu.
"Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney. Penerbangan itu membawa 194 penumpang dan lima kru selamat mendarat pada jam 3.47 petang waktu tempatan.
"Keselamatan dan keselesaan kru dan penumpang kami adalah amat penting bagi Malaysia Airlines,” menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, portal berita antarabangsa melaporkan penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur dari Sydney terpaksa berpatah balik susulan 'insiden kecemasan' di udara.
MH122 berlepas dari Sydney pada 1.40 tengah hari dan mendarat semula pada 3.47 petang.
Video yang disiarkan menerusi X (Twitter) oleh individu yang didakwa berada dalam penerbangan MH122 itu menunjukkan kru penerbangan cuba menenangkan seorang lelaki yang menjerit kepada penumpang lain.
Sementara itu, Polis Persekutuan Australia menerusi media sosialnya memaklumkan pihaknya sedang bertindak terhadap kejadian kecemasan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.
"Kemas kini akan dikeluarkan pada masa yang sesuai,” menurutnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!