Keadaan di Terengganu tenang
KUALA TERENGGANU - Selepas hampir dua hari pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, keadaan di negeri ini tenang tanpa ada sebarang provokasi melampau yang berlaku.
Situasi tersebut menunjukkan penyokong parti yang tewas bersikap matang dan positif serta menerima kekalahan dengan hati terbuka.
Menurut Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin, sehingga kini, situasi di seluruh Terengganu kekal berada di tahap yang terkawal dan baik.
"Polis akan memantau situasi semasa sehingga kerajaan di peringkat negeri terbentuk dan masyarakat tidak perlu risau untuk menjalani aktiviti harian seperti biasa.
"Pada masa sama, polis mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama baik sepanjang PRN berlangsung," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, katanya, setakat ini Polis Terengganu membuka sebanyak 11 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan pada hari pengundian sempena PRN, Sabtu lepas.
Ia membabitkan sembilan kesalahan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, satu kesalahan di bawah Seksyen 4 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan satu kes di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
"Sebanyak empat kes di Kuala Terengganu, dua di Setiu, dua di Marang serta masing-masing satu kes di Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut," katanya.
Keputusan pilihan raya pada Sabtu menyaksikan Pas menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di negeri ini.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!