Pasaran getah ditutup rendah, jejaki pasaran serantau
PASARAN getah tempatan ditutup rendah pada Isnin, menjejaki aliran menurun dalam pasaran hadapan getah serantau dan kerugian pada harga minyak mentah penanda aras.
Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan terhadap pertumbuhan ekonomi China yang perlahan dan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah selanjutnya selepas Amerika Syarikat (AS) mencatatkan data inflasi lebih tinggi.
"Bagaimanapun, kerugian seterusnya dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS,” katanya.
Beliau berkata, peniaga akan memantau pasaran untuk mendapatkan petunjuk mengenai kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS serta data ekonomi China yang akan dikeluarkan minggu ini.
"Dilaporkan bahawa pinjaman bank terbaharu China jatuh pada bulan Julai dan kredit utama lain juga lebih lemah walaupun selepas penggubal dasar mengurangkan kadar faedah dan berjanji untuk melancarkan lebih banyak sokongan untuk ekonomi yang merudum.
"Sementara itu, kemerosotan hartanah China yang semakin teruk menjejaskan pemulihan ekonomi dengan data mungkin menunjukkan sedikit tanda pemulihan dalam pertumbuhan," katanya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 8.5 sen kepada 578.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 2.5 sen kepada 469.0 sen sekilogram.
Pada jam 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal GMM 20 berada pada 579.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal ialah 468.5 sen sekilogram. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!