Panglima perang bakal MB Kelantan?
KOTA BHARU - Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dikatakan sudah mengadap ke bawah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pagi tadi.
Sumber memaklumkan, watikah presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mencalonkan beberapa nama untuk diangkat sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu telah dipersembahkan kepada Sultan Muhamad sekitar jam 11 pagi tadi.
Dari satu sumber, calon yang bakal menggantikan Ahmad adalah Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Meranti, Datuk Nassuruddin Daud, 58 tahun.
Nassuruddin lepasan Universiti Al Azhar, Mesir merupakan Ketua Penerangan Pas Kelantan serta digelar Panglima Perang Pas Kelantan.
Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.
Nassuruddin antara pimpinan Pas yang lantang bersuara dan digeruni di pentas ceramah.
Sementara itu sumber turut memaklumkan, ADUN Temangan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan bakal mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar.
Mohamed Fadzli sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi.
Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar, Timbalan dan barisan Ahli Mesyurat Kerajaan Kelantan dijangka berlangsung di Istana Balai Besar, pada 3 petang Selasa. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!