Bersih gesa Perdana Menteri laksana janji lawan korupsi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji melawan korupsi sistemik dan melaksanakan reformasi institusi kepada tata kelola lebih baik untuk akauntabiliti serta kestabilan.

Jawatankuasa Pemandu dalam satu kenyataan berkata, kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen membolehkan Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi perundangan tanpa mendapat sokongan daripada pembangkang.

“Tetapi dengan semangat Kerajaan Madani, kami menggesa beliau untuk menghulur tangan dengan ikhlas kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) bagi menghormati peranan penting mereka sebagai pembangkang dan wakil kepada rakyat yang memilih mereka.

“Perjanjian Damai Semua Parti bersama pembangkang perlu luas dan terperinci, namun perlu meliputi 10 reformasi institusi dan penyusunan politik yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian pada Julai lalu melaporkan, Bersih telah menggesa Kerajaan Perpaduan dan PN menandatangani perjanjian damai untuk memastikan kestabilan politik selepas tamat pilihan raya negeri (PRN).

Justeru, Bersih mencadangkan 10 reformasi institusi dan penyusunan politik antaranya, Akta Penggal Tetap Parlimen supaya Parlimen ke-15 dapat berjalan sepenggal penuh sehingga 18 Disember 2027, pengkanunan peruntukan dan proses bagi mekanisme kepercayaan di Parlimen, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jelasnya, cadangan itu adalah berdasarkan pemerhatian antara kedua-dua belahan politik yang mahu korupsi dihapuskan.

“Perdana Menteri tidak boleh atau dilihat berkompromi dengan janji beliau untuk melawan korupsi. Reformasi untuk membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), serta reformasi pembiayaan politik adalah maha penting dalam perlawanan ini.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat akan menilai kedua-dua gabungan ini melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Bola kini di kaki Perdana Menteri dan beliau perlu buktikan kelayakannya untuk terima mandat diberikan oleh rakyat serta gabungan untuk mentadbir baki penggal selama empat tahun empat bulan lagi,” ujarnya.

Tambah Bersih, tanpa reformasi politik dan institusi berkenaan, kerajaan kini atau seterusnya akan kekal rapuh menghadapi rampasan kuasa pertengahan penggal dan tuduhan salah guna kuasa eksekutif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!