FMM syor tubuh Majlis Madani perkukuh kerjasama sektor awam-swasta
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, langkah itu akan membantu menyelaraskan usaha negara dengan nilai-nilai Madani yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memastikan penyelarasan yang betul bagi semua strategi serta mencapai penunjuk prestasi utama dan pelan tindakan.
Susulan berakhirnya pilihan raya negeri baru-baru ini, FMM berharapkan sokongan berterusan daripada kerajaan persekutuan dan juga negeri dalam usaha penciptaan nilai yang mampan dan berdaya saing, terutamanya melalui aktiviti pembuatan yang telah dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan baharu negara di bawah kerangka Ekonomi Madani.
"Kestabilan politik dan kejelasan dasar terus menjadi pertimbangan utama bagi pelabur asing dan domestik.
"Kami menyeru barisan exco kerajaan negeri yang baharu untuk terus memberi sokongan mereka kepada sektor perniagaan dengan dasar pro-perniagaan yang diperbaharui bagi meningkatkan keyakinan pelabur, yang merupakan kunci untuk perniagaan mencapai kecemerlangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Thian Lai berkata, kerajaan juga diharapkan dapat terus melaksanakan pendekatan berorientasikan hasil dan misi serta kekal fokus kepada pemulihan ekonomi dan dasar yang betul dengan mengukuhkan asas ekonomi, termasuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
Selain itu, beliau berkata, komuniti perniagaan juga memerlukan persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan untuk memastikan industri terus berdaya saing dan mampan serta berkembang pesat.
"Justeru, adalah penting agar semua dasar dan langkah yang dilaksanakan bagi membantu pemulihan perniagaan dan ekonomi berdasarkan kepada empat prinsip utama iaitu kredibiliti, kejelasan, konsisten dan kepastian,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!