'Keluarga Seni' pamer lebih 50 karya lukisan di KSAS
SHAH ALAM - Kelab Shah Alam Selangor (KSAS) buat julung kali mengadakan pameran jualan lukisan 'Keluarga Seni - Seni Atas Canvas' secara terbuka kepada orang ramai.
Pameran yang pertama kali menampilkan gabungan empat artis seni sekeluarga melibatkan Harris Ribut, 73, Fuzias Ismail, 64, Ramly Ribut, 63, dan Taufiq Rameli, 40, itu diadakan selama dua minggu bertempat di ruang pameran KSAS.
Hariss dan Ramly pernah berkhidmat untuk Kumpulan Karangkraf sewaktu penubuhan syarikat berkenaan iaitu pada awal 1980-an.
Hariss merupakan bekas penyunting akhbar Watan manakala Ramli pula sebagai bekas pengarah grafik untuk syarikat tersebut.
Harris berkata, program jualan yang bermula pada Ahad itu mempamerkan lebih daripada 50 lukisan dengan konsep kreativiti seni yang berbeza untuk setiap artis.
"Pada hari pertama, pameran ini mendapat sambutan, dapat jual (lukisan) dan ada yang janji nak datang semula, jadi pihak KSAS memberi peluang untuk memanjangkan lagi tempoh pameran itu kepada dua minggu.
"Bukan mudah sebenarnya untuk mendapat kesempatan mempamerkan karya kami sekeluarga di KSAS secara percuma buat pertama kalinya. Jadi peluang itu amat saya hargai," katanya ketika ditemui di ruang pameran KSAS pada Isnin.
Pengurus Besar KSAS, Kamal Huessein berkata, pihaknya berbesar hati dapat menganjurkan pameran tersebut memandangkan ia merupakan peluang baik untuk menarik orang ramai datang ke KSAS.
"Pameran ini terbuka bukan sahaja kepada ahli kelab, tetapi juga kepada orang ramai. Sesiapa pun boleh datang ke KSAS dari 10 pagi hingga 10 malam.
"Pameran ini sepatutnya diadakan dua hari, tetapi memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan media sosial, mengatakan supaya kita lanjutkan lagi program ini.
"Jadi kita bersedia memberi kerjasama kepada keluarga Ribut ini dan mereka pun telah bersetuju untuk melanjutkan program ini selama dua minggu," katanya.
Ujar Kamal, memandangkan KSAS dibuka kepada orang ramai, mereka bukan sahaja dapat melihat pameran lukisan, malah berpeluang menikmati fasiliti-fasiliti lain yang dibenarkan dalam kelab tersebut.
"Kita nak orang luar pun mengalami atau merasai apa yang ada di fasiliti KSAS ini, cuma untuk sukan sahaja masih terhad kepada ahli.
"Sebelum ini KSAS memang dikhaskan kepada ahli sahaja tetapi memandangkan ramai yang bertanya kenapa kelab ini tidak dibuka kepada awam, sebab kita ada banyak fasiliti seperti Kenanga Restoran Chinese Cuisine, Rampai Cofee House, ruang istirahat lobi, karaoke dan banyak lagi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!