‘Gelombang pindah undi, mustahil UMNO menang pilihan raya’ - Shahril
SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpendapat dengan keadaan gelombang perpindahan undi, mustahil untuk UMNO menang dalam mana-mana pilihan raya.
Menurutnya, UMNO tidak akan mendapat sebarang kepercayaan daripada pengundi sekiranya masih mengamalkan budaya mengampu dan tidak bercakap benar.
“Dalam UMNO budaya mengampu dan tidak mahu bercakap perkara benar masih berlaku.
“Secara jujurnya, letak siapapun dalam keadaan gelombang ini tiada cara untuk UMNO terus menang," katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bertajuk ‘post-match analysis’ sempena PRN 2023 bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming pada Isnin.
Dalam pada itu, Shahril turut mendedahkan UMNO Terengganu sebelum ini begitu yakin dapat memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada PRN.
"Saya difahamkan apabila bincang kerusi mana yang nak diagih sebelum PRN, kepimpinan UMNO Terengganu yakin menang," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kedah, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, kemenangan tersebut bukan sahaja daripada naratif gelombang hijau, sebaliknya ia berkaitan dengan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berbeza daripada mana-mana figura ahli politik yang lain.
“Ini memang mengejutkan saya kerana keputusan PN Kedah naik daripada 71.7 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ke 73.3 peratus dan kenaikan dua peratus ini memang mengejutkan,” jelasnya.
Khairy Jamaluddin pula berkata, faktor pengundi Melayu yang memilih PN juga antara penyumbang kepada kemenangan Sanusi sehingga beberapa pemimpin UMNO yang bertanding turut kalah.
“Orang UMNO tak suka bekerjasama dengan PH. Orang UMNO tidak suka sebab Zahid masih lagi Presiden UMNO semua ini telah menyumbang kepada keputusan tersebut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!