Pelarasan gaji tingkatkan kuasa beli rakyat
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Anwar dilaporkan berkata, ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.
Tidak melupakan pekerja swasta, Anwar juga memberitahu kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik bagi menyelaras gaji pekerja dalam sektor swasta di negara ini.
Beliau berkata, tidak banyak negara yang melakukan perkara itu tetapi Kerajaan Perpaduan tetap akan memikirkan tentang bagaimana kaedah dan pelaksanaannya.
Antara cadangan yang sedang difikirkan ialah sebahagian bayaran gaji sektor swasta ditampung oleh kerajaan.
Langkah itu pastinya menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat apabila perlu memperuntukkan sejumlah wang setiap tahun untuk pelarasan gaji sektor swasta, namun ia pastinya disambut baik oleh rakyat.
Selain gaji minimum, sebelum ini tidak ada sebarang dasar yang jelas mengenai kadar upah bersesuaian dengan pengalaman pekerja atau pelarasan gaji di sektor swasta.
Sehubungan itu mekanisme pelarasan gaji pekerja swasta dicari kerajaan tentunya dapat memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang selama ini dihimpit dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi hingga menyebabkan gaji yang diterima tidak mencukupi.
Dalam masa sama, majikan juga tentunya menyambut baik seandainya kerajaan dapat menampung sebahagian pelarasan gaji pekerja ini.
Kebanyakan majikan bukan tidak mahu selaraskan gaji pekerja, namun perlu juga memikirkan kos yang perlu ditanggung dengan kenaikan gaji itu.
Namun jika syarikat untung berbilion ringgit, tak akan nak selaraskan gaji pekerja agar sesuai dengan kos sara hidup pun nak berkira.
Kadar gaji dan kos sara hidup yang seimbang penting bagi memastikan kuasa beli pekerja terpelihara.
Tak guna pendapatan bertambah jika dalam masa sama harga barangan juga meningkat tinggi.
Selain kawalan harga barangan, mekanisme pelarasan gaji yang sedang dicari kerajaan ini diharap dapat membantu meningkatkan semula kuasa beli rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!