Penting sangatkah gelaran doktor sampai sanggup marah pesakit
BARU-BARU ini Merak Jalanan mengalami keracunan makanan akibat kecuaian diri sendiri.
Tiga hari Merak Jalanan terbaring di katil akibat tiada tenaga nak bergerak mahupun makan.
Ini merupakan kali pertama Merak Jalanan mengalami keracunan makanan. Kesannya, jadi fobia nak makan.
Setiap makanan yang hendak dijamah akan dihidu terlebih dahulu.
Merak Jalanan tidak mahu bercerita panjang mengenai keracunan makanan itu sebaliknya mahu berkongsi pengalaman ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.
Melihat keadaan Merak Jalanan yang tidak bermaya akibat keracunan makanan, doktor yang merawat memasukkan air ke dalam badan bagi menggantikan air yang hilang akibat cirit-birit.
Merak Jalanan diarah ke bilik rawatan untuk proses memasukkan air yang mengambil masa kira-kira 30 minit. Sepanjang 30 minit ini doktor berkenaan memanggil beberapa pesakit lain untuk didiagnosis dan dirawat.
Salah seorang pesakit itu telah memanggil doktor yang merawat dengan gelaran ‘kak’ ketika memberitahu sakit yang dialaminya.
Yang mengejutkan Merak Jalanan adalah respons yang diberi doktor berkenaan terhadap panggilan ‘kak’ tersebut.
Doktor ini dalam nada yang agak keras berkata: “Bukan kak...doktor. Kita bukan berada di pasar malam.”
Merak Jalanan tidak dapat melihat reaksi muka pesakit itu, tapi tentunya dia menahan malu dimarahi seumpama itu.
Tak pasti sebab pesakit itu memanggil ‘kak’, mungkin dia mahu lebih mesra atau mungkin juga dia jarang berdepan dengan doktor sehingga menyebabkan dia tersasul panggilan.
Namun besar sangatkah gelaran doktor sehingga tergamak memarahi pesakit hanya kerana tidak dipanggil doktor.
Adakah gelaran dunia doktor ini lebih penting daripada mengecilkan hati insan lain yang merupakan satu dosa. Bukan boleh bawa mati pun!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!