Ambil tindakan segera jika terlibat rasuah - Gema

Foto hiasan 123RF. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Amar, Zairudin Hashim
Foto hiasan 123RF. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Amar, Zairudin Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli politik termasuk dalam kalangan pemimpin negara yang terbabit dalam perbuatan salah laku khususnya rasuah.

Naib Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohammad Amar Masuri berkata, sikap itu tidak sepatutnya ada dalam diri seorang pemimpin ketika kerajaan berusaha menjadikan negara ini sifar rasuah.

“Kesungguhan pemimpin untuk menggerakkan atau memajukan nasib rakyat perlu disertakan dengan kebolehannya yang bersesuaian nilai integriti, amanah dan telus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukan lebih setengah juta ringgit membabitkan Persatuan Belia Gabungan Ketengah berjumlah RM100,000 selain RM250,000 untuk Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di Terengganu.

Dalam laporan tersebut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO berkata, jumlah diperuntukkan mungkin ditambah bergantung kepada keputusan pilihan raya.

Pengumuman itu menyebabkan ramai pihak mempertikaikan langkah terbabit dengan menyifatkan peruntukan itu sebagai 'rasuah' kepada pengundi di Terengganu.

Dalam pada itu, Amar berkata, pemimpin perlu fokus, mempunyai keinginan, prinsip dan integriti tinggi untuk membela nasib rakyat agar tidak terlibat dengan salah laku.

“Sekiranya terdapat unsur rasuah seperti didakwa, SPRM harus mengambil tindakan segera,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beri kerjasama SPRM siasat suspek pelaku rasuah - ABIM

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan penuh terhadap pihak disyaki terlibat dalam penyelewengan.

Menurutnya, setiap siasatan dan pendakwaan, keberanian bertindak perlu terus digerakkan tanpa mengira status serta latar belakang pelaku.

Menurutnya, tindakan berterusan perlu dilakukan bagi membanteras gejala rasuah yang semakin menjadi barah dalam negara.

“Generasi muda perlu lebih didedahkan kepada pendidikan kenegaraan iaitu menerusi konteks membina sebuah negara.

“Justeru, saya berharap semua pihak memberi ruang kepada SPRM melakukan siasatan adil terhadap pihak yang didakwa terbabit dalam isu rasuah dan penyelewengan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zairudin berkata, dunia politik perlu dilihat secara lebih meluas dan bukan hanya membabitkan soal ideologi kepartian, sebaliknya nilai jati diri perlu digerakkan bagi membentuk sahsiah terbaik.

Jelasnya, rakyat perlu memastikan mereka mampu menggembleng tekanan supaya hanya calon terbaik akan diterima penduduk setempat.

“Ini kerana, ia akan menjurus kepada setiap calon berusaha gigih menampilkan potensi terbaik mereka, di samping memberi perkhidmatan yang bersih dan cekap,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!