Terengganu kekal status Gergasi Pantai Timur
TERENGGANU FC (TFC) mengesahkan status sebagai Gergasi Pantai Timur setelah berpesta gol membelasah Kelantan FC 8-0 dalam Derbi Pantai Timur Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.
The Red Warriors (TRW) yang mempertaruhkan tujuh pemain bawah 23 tahun dalam kesebelasan utama ternyata tampil semangat juang tinggi berbanding pasukan pelawat yang menggunakan dua pemain kategori sama.
Namun barisan muda kendalian Alfredo Vera 'tewas kepada pengalaman' angkatan Tomislav Steinbruckner yang lebih matang mendominasi permainan yang tertangguh selama 90 minit susulan padang ditakungi air akibat hujan lebat.
Keadaan padang becak tidak menjejaskan momentum skuad Steinbruckner yang yang menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama yang disaksikan 1,696 penyokong.
Empat gol itu masing-masing dijelmakan menerusi Ivan Mamut pada minit ke-14, Nurillo Tukhtasiniov (minit ke-28), Nik Muhammad Sharif Haseefy (minit ke-36) dan Engku Muhammad Nur Shakir pada minit ke-40.
Separuh masa kedua, skuad Penyu meningkatkan tahap asakan melebarkan jaringan menerusi Muhammad Safwan Mazlan pada minit ke-47 untuk gol kelima pasukan pelawat.
Mamut kemudiannya menambah gol peribadi kedua apabila meledak gol keenam TFC pada minit ke-53 diikuti gol ketujuh menerusi bintang muda Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-63 sebelum Mamut melengkapkan hatrik pada minit ke-66.
Sebagai rekod, tiga mata diraih skuad Penyu sekaligus mengekalkan momentum positif diraih ketika menang 5-0 ke atas lawan sama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 4 April lalu.
Tiga mata itu membolehkan TFC menduduki tangga keenam liga dengan mengumpul 23 mata - sembilan menang, lima seri, enam tewas - selepas mengharungi 20 perlawanan.
Sementara Kelantan dikendalikan bekas pengendali kelab dari Indonesia, Persita Tangerang, Persipura Jayapura dan Persebaya Surabaya pula kekal di tangga ke-13 - dua menang, dua seri, 16 tewas - selepas mengharungi 20 perlawanan Liga Super.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!