Posisi semula kuasa Melayu-Islam - Pas Pahang

ROSLI
ROSLI
A
A
A

KUANTAN - Keputusan yang dibuat oleh pengundi khasnya Melayu dan sebilangan pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, Sabtu lalu memberi isyarat penolakan kepada kerajaan Persekutuan.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, isyarat ini sewajarnya disambut oleh semua kepimpinan parti untuk menilai semula kehendak dan kecenderungan pengundi Melayu.

Justeru menurutnya, peluang untuk memposisikan semula kuasa Melayu-Islam di negara ini terbuka luas berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini.

"UMNO kini boleh menjadi 'king maker' menentukan kedudukan kuasa Melayu atau sebaliknya.

"Pas Pahang menyeru pimpinan UMNO di negeri yang mampu memposisikan kuasa dan kedaulatan Melayu-Islam dengan menyambut gelombang dan isyarat rakyat ini," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu menjelaskan suara akar umbi UMNO juga menyeru agar parti itu kembali ke landasan asal perjuangan Melayu jelas kelihatan hasil keputusan PRN.

Jelasnya, Pas Pahang mengharapkan penyatuan ummah ditegakkan demi kestabilan negeri dan negara.

Rosli turut memberi contoh situasi di Negeri Sembilan selepas PRN Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) hampir sama dengan situasi di Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kedudukan kerusi di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dengan komposisi di Pahang, kedua-dua negeri boleh memposisikan kuasa Melayu-Islam.

"Kedudukan sama juga boleh dilakukan di Pahang, malah di peringkat nasional jika diterjemahkan kesungguhan itu," katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, PN Negeri Sembilan memenangi lima kerusi DUN iaitu Gemas, Serting, Labu, Bagan Pinang dan Paroi.

Gabungan PH-BN pula memperoleh 31 kerusi melalui BN (14), DAP (11), PKR (lima) dan Amanah satu kerusi (DUN Klawang).

Manakala keputusan PRU15 di Pahang menyaksikan UMNO mendapat 18 kerusi, PN memperoleh 17 kerusi DUN dan PH lapan.

Kerajaan Pahang hanya dapat ditubuhkan selepas PH mengumumkan menyokong UMNO bagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat.

Sementara itu, Rosli berharap pimpinan PN peringkat Pusat dan negeri boleh melihat isu itu dengan tuntas demi kebaikan masa depan ummah dan negara.

Menurutnya, pemimpin juga sewajarnya menyambut dengan hati terbuka dan merealisasikan impian rakyat.

"Kita bersedia (Pas Pahang) menghulurkan tangan perpaduan dan penyatuan demi menyambut impian dan keinginan rakyat," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!