'Kerajaan PH terlalu berhati-hati, rakyat jadi resah'
SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan terlalu berhati-hati dalam melakukan sebarang perubahan sejak setahun mentadbir negara sehingga melahirkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan rakyat.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, perubahan drastik harus dilakukan dengan segera termasuk memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting.
“Saya rasakan barangkali yang harus diberikan tumpuan adalah berkaitan kos sara hidup. Itu mahu dilihat perubahan.
“Kedua adalah perubahan sosial dipertahankan. Ketiga penstrukturan masyarakat merentasi Semenanjung Sabah dan Sarawak berlaku dan memastikan bahawa keseimbangan antara bandar dan luar bandar jurangnya dapat dikurangkan.
“Ketiga, saya rasakan infomasi-infomasi institusi yang mahu dilihat itu masih tidak dilihat secara menyeluruh. Sebab itu saya rasakan masyarakat seolah-olah melahirkan kebimbangan dan keresahan,” katanya pada Wacana Sinar Ke-108 bertajuk ‘Penilaian Setahun PH Berkuasa’ di Dewan Karangkraf di sini semalam.
Menurutnya, memasuki tahun kedua pentadbiran kerajaan PH pula, ia adalah fasa kedua di mana kerajaan hari ini harus melakukan penambah baikan dari segi kepekaan kepada merakyatkan kepimpinan.
“Sejauh mana keperihatinan rakyat dan peduli rakyat itu timbul dalam soal isu-isu yang dekat dengan rakyat. Jadi fasa kedua ini tidak boleh lagi kita (kerajaan) nyatakan, ‘ini baru tahun kedua’.
“Jika itu (peduli rakyat) dapat dilakukan, ia dapat menyanggahi dapatan kajian oleh firma penyelidikan bebas, Merdeka Center yang sebelum ini ada melakukan tinjauan ke atas sokongan PH yang semakin menurun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!