Pamer kertas undi, polis akan panggil Sanusi masa terdekat - KPN

Sanusi
Sanusi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tindakannya menayangkan kertas undi kepada petugas media ketika proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkaitan kejadian tersebut dijalankan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian akan disiasat termasuk bawah Seksyen 5 (1) dan Seksyen 26 (1) (g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Apa pun beri peluang kepada pihak polis untuk menyiasat terlebih dahulu, dan beliau (Muhammad Sanusi) akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk dirakam keterangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut Razaruddin berkata, kertas siasatan yang lengkap kemudiannya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Ia akan melalui beberapa proses dan polis akan jalankan menerusi proses-proses tersebut, sesiapa sahaja yang didapati lakukan kesalahan kita akan siasat.

"Siasatan dijalankan secara adil dan saksama dan itu adalah tugas polis, kita bukan nak menganiaya sesiapa dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, media melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayangkan kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi.

Dalam laporan Sinar Harian pada Sabtu, Sanusi mendakwa beliau tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya.

Sebaliknya, beliau berkata, kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pamer kertas undi, Sanusi akan dipanggil rakam keterangan - KPN

'Saya tak berniat pamer kertas undi' - Sanusi

PRN: Sanusi didakwa 'tayang' kertas undi, langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Tunjuk kertas undi dipangkah adalah salah - KPN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!