Menteri Jerman terkandas lagi akibat masalah teknikal pesawat

Annalena Baerbock
Annalena Baerbock
A
A
A

ABU DHABI - Pesawat Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas dari Abu Dhabi dan kembali ke Emiriah Arab Bersatu buat kali kedua awal pagi Selasa akibat masalah teknikal.

Baerbock terkandas di Abu Dhabi awal pagi Isnin ketika dalam rangka lawatan selama seminggu ke Australia, New Zealand dan Fiji, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Percubaan kedua untuk bertolak pada awal pagi Selasa gagal.

Selepas 15 minit berlepas pada 1 pagi (2100 GMT Isnin), pesawat Airbus A340-300 yang membawa menteri itu terpaksa berpatah balik ke Abu Dhabi.

Kapten berkata, pesawat itu mengalami masalah yang sama seperti pada Isnin.

"Jika anda melihat pada monitor, anda akan mengenalpasti tingkah laku penerbangan yang sama seperti semalam. Malangnya, kami mengalami masalah yang sama seperti semalam," kata kapten itu.

Kapten berkata, pesawat itu sekali lagi mengalami masalah di bahagian sayap, yang menghalang pesawat itu mencapai ketinggian dan kelajuan penerbangan normal.

Semasa lawatan sulungnya ke Australia, Baerbock merancang untuk melawat Canberra dan Sydney, serta beliau sepatutnya bertemu Menteri Luar Penny Wong.

Artikel Berkaitan:

Baerbock sebelum ini dilapor terkandas di Qatar akibat tayar pancit pada pertengahan Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!