Masa untuk berpolitik sudah berlalu - Anthony

Anthony
Anthony
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menggesa semua pihak untuk menumpukan perhatian kepada kerja dan berkhidmat untuk rakyat kerana pilihan raya negeri (PRN) telah pun tamat.

Menurutnya, waktu untuk berpolitik sudah pun berlalu dan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya semua pemimpin memberi kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat perlu disambut semua pihak.

"Titah Tuanku semalam (Isnin) sangat tegas dan jelas bahawa Tuanku tidak mahu lihat apa berlaku pada penggal lepas yang mana ada cubaan menukar kerajaan negeri selepas Langkah Sheraton.

"Bagi saya itu peringatan yang baik kepada semua pihak supaya kita mesti bertanggungjawab bersama-sama membawa kestabilan politik kepada negara dan negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan inisiatif pas percuma 'myBAS Konsesi' di Terminal Satu di sini pada Selasa.

Ujarnya, Negeri Sembilan sudah ada sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di bawah PH dan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti menang yang sangat selesa.

Malah katanya, kemenangan gabungan itu di 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan yang kerjasama itu diterima rakyat.

"Jadi dengan kekuatan ini, maka kita boleh bawa kestabilan politik kepada negara kita dan bila Tuanku telah buat keputusan melantik Aminuddin (Datuk Seri Aminuddin Harun) sebagai Menteri Besar, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memberi sokongan sepenuhnya.

Dalam pada itu ditanya berkenaan keterbukaan DAP berhubung lantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Anthony berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan Menteri Besar yang akan membuat keputusan yang adil serta memuaskan hati semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Soal nisbah belum ditentukan dan seperti biasa akan ada perbincangan tertutup dengan parti masing-masing dan sudah tentu ia akan dibuat dalam masa terdekat dengan Menteri Besar.

"Jadi saya yakin yang perkara itu akan diputuskan dengan baik oleh Menteri Besar kerana beliau sudah ada lima tahun pengalaman (sebagai Menteri Besar)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!