Pengerusi persatuan didakwa guna gelaran Datuk Seri palsu
MELAKA - Seorang warga emas yang juga Pengerusi Persatuan Keturunan Lim Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf.
Lim Teng Huat, 67, bagaimanapun membuat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf daripada watikah kurniaan Darjah Kurnia Paduka Seri Diraja Perak (D.S.D.P).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri di daerah Melaka Tengah, di sini pada 14 Oktober 2019.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 7 (3) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 yang boleh dihukum bawah Seksyen 7 (4) Enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah agar tertuduh yang memiliki perniagaan di Indonesia tidak melarikan diri.
Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Khaw Thian Keat merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu membuat rawatan susulan di hospital swasta selepas menjalani pembedahan jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain menetapkan 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!