Barisan Exco Terengganu angkat sumpah
KUALA TERENGGANU - Seramai 10 barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang baharu selamat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.
Istiadat pelantikan kesemua barisan Exco Terengganu tersebut berlangsung di Istana Syarqiyyah kira-kira 3.23 petang.
Barisan Exco yang mengangkat sumpah ialah Datuk Satiful Bahari Mamat (Paka), Dr Azman Ibrahim (Jabi), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam) dan Hishamuddin Abdul Karim (Tepuh).
Selain itu, Ariffin Deraman (Alur Limbat), Maliaman Kassim (Ajil), Hanafiah Mat (Chukai) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ( Kota Putera) manakala satu-satunya wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik Exco ialah Datuk Razali Idris dari Kijal.
Terdapat empat nama ADUN yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai Exco namun tidak dilantik pada penggal kali ini iaitu Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung) dan Dr Mamad Putih (Kuala Berang) manakala bekas ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak serta bekas ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar tidak bertanding kerusi DUN pada PRN kali ini.
Difahamkan, pengumuman mengenai portfolio yang akan dipegang oleh Exco-Exco berkenaan akan dimaklumkan nanti.
PN menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, Sabtu lepas.
Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik negeri berkenaan apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!