Dua beradik antara tiga ditahan bersama RM200,000 dadah

Kok Chin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di SPT dan SPS pada Isnin.
Kok Chin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di SPT dan SPS pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Satu sindiket memproses dadah tumpas apabila tiga lelaki warga tempatan ditahan dalam dua serbuan yang dijalankan serentak pada Isnin.

Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM200,000.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan dibuat pada jam 4.30 petang di sebuah rumah masing-masing di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Menurutnya, siasatan mendapati, ahli sindiket tersebut menjadikan rumah di Simpang Ampat di SPS sebagai makmal haram memproses dadah tersebut.

"Serbuan pertama, kita menyerbu sebuah rumah dua tingkat di SPS dan menahan seorang suspek yang merupakan ahli perniagaan.

Hasil pemeriksaan, rumah yang disewa dengan kadar RM1,500 sebulan itu dijadikan makmal untuk memproses dadah.

"Susulan daripada serbuan pertama itu, kita menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Sejahtera, SPT dan menahan dua orang lagi suspek di situ.

Kedua-dua mereka merupakan adik beradik dan rumah berkenaan adalah rumah keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mempunyai bengkel lori manakala adiknya adalah pemandu lori," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Kok Chin (kiri) memeriksa kenderaan yang dirampas daripada suspek.
Kok Chin (kiri) memeriksa kenderaan yang dirampas daripada suspek.

Kok Chin berkata, hasil daripada kedua-dua serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah, peralatan memproses dadah dan menyita kenderaan serta barang kemas.

"Kita merampas 30 bungkusan dadah jenis heroin bernilai RM184,800; 230 batang rokok dadah bernilai RM13,800; serbuk kafein bernilai RM1,400, peralatan memproses dadah dan bahan kimia.

"Hasil risikan, sindiket ini bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dan kesemua dadah ini adalah untuk pasaran tempatan.

Polis masih menyiasat sama ada terdapat sindiket yang lebih besar berada di belakang sindiket ini," katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek negatif dadah.

"Semakan mendapati, dua daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Kesemua mereka direman sehingga 21 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

"Dadah yang dirampas tersebut boleh digunakan oleh 67,730 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.

Selain dadah, polis turut merampas enam buah kenderaan antaranya Toyota Alphard, BMW, Honda dan Mitsubishi Triton.

"Turut disita adalah dua utas rantai leher, sebentuk gelang tangan dan dua bentuk cincin bernilai RM25,680.

Jumlah keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM890,680," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!