Polis Pulau Pinang terima 87 laporan sepanjang PRN
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menerima 87 laporan polis membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, daripada jumlah itu, 20 laporan polis membabitkan salah guna kad pengenalan pada hari mengundi Sabtu lalu.
Susulan daripada itu, polis membuka 20 kertas siasatan berhubung kejadian tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Selain itu, polis turut membuka 42 kes dan dua kertas inkuiri namun kesemuanya masih dalam siasatan lanjut.
"Bagi kes salah guna kad pengenalan pula, ia menyebabkan 20 individu tidak dibenarkan mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana maklumat peribadi atau kad pengenalan mereka sudah digunakan pihak lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Selasa.
Jelasnya, walaupun laporan diterima dan kertas siasatan dibuka, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
"Daripada 42 kertas siasatan itu, 20 kes membabitkan isu kad pengenalan atau identiti mereka digunakan manakala kes-kes lain pula melibatkan khianat iaitu merosakan kain rentang, bendera atau bahan kempen.
"Selain itu, polis juga buka kertas siasatan dua kes berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja) dan kes membabitkan fitnah terhadap calon, curi bendera, ugutan, dan cetak kertas undi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!