KDN tidak sekat penerbitan al-Quran, hanya perlu perakuan

Nik Yusaimi ketika meninjau ruang pameran sempena Seminar Penerbitan Teks Al-Quran dan Rasm Uthmani 2023 di Mess Pegawai Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa.
Nik Yusaimi ketika meninjau ruang pameran sempena Seminar Penerbitan Teks Al-Quran dan Rasm Uthmani 2023 di Mess Pegawai Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menyekat mana-mana pihak untuk menerbitkan atau membangunkan aplikasi al-Quran dengan syarat perlu mendapatkan perakuan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, kelulusan itu penting bagi memastikan ia menggunakan mushaf yang memenuhi ciri-ciri penulisan Rasm Uthmani bagi al-Quran yang diterima pakai di negara ini.

Menurutnya, amalan al-Quran yang tidak mempunyai perakuan boleh mengundang kepada kekeliruan masyarakat selain membawa kepada pembacaan yang salah.

"Ini juga berunsur kepada keselamatan kerana pihak-pihak yang ada agenda tersendiri, boleh menyeleweng ayat-ayat al-Quran dengan memetik pada ayat yang salah untuk menjayakan agenda tertentu mereka.

"Tambahan pula, sampai sekarang masyarakat masih lagi terkeliru dengan tawaran-tawaran al-Quran yang tiada perakuan di pasaran sedangkan di negara kita telah ada 932 jenis al-Quran mendapat perakuan daripada KDN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Seminar Penerbitan Teks Al-Quran dan Rasm Uthmani 2023 di Mess Pegawai Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dan Komander Briged Utara, Nordin Manan.

Nik Yusaimi berkata, mengikut sistem negara ini, setiap penerbitan al-Quran hendaklah melalui semakan Lajnah Tasheh al-Quran KDN yang berperanan menyemak struktur ayat, baris dan huruf yang tepat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setelah lulus, ahli lajnah yang terdiri pakar dari seluruh negara itu akan membawa teks berkenaan untuk perakuan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).

"Al-Quran import, terbitan tempatan ataupun mushaf sendiri boleh melalui semua proses ini dan jika lulus semua peringkat, maka al-Quran disahkan ini boleh berada dalam komuniti dengan ciri-ciri cop siri serta hologram daripada KDN.

"Mereka yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 14,000 naskhah al-Quran tanpa perakuan telah berjaya dikumpul menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ) yang dijalankan seluruh negara sejak Januari lalu.

Katanya, menerusi kempen itu, KDN memberi peluang kepada masyarakat Islam menukar al-Quran lama dan rosak serta tidak mempunyai kelulusan kepada naskhah yang diberikan perakuan.

"KDN bertindak tegas dalam hal ini, bukan sahaja untuk menjaga kesucian dan kemuliaan al-Quran tetapi untuk masyarakat sedar bentuk al-Quran yang patut dimiliki dan diamalkan," katanya.

Seminar yang dihadiri 100 peserta itu telah mengumpulkan 12 persatuan dan agensi termasuk persatuan mualaf yang berdaftar di Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!