Usahawan PKS terkesan dengan polikrisis
KIRA-kira 30 hingga 40 peratus usahawan kecil dan sederhana (PKS) terkesan dengan polikrisis yang menekan ketika ini hingga ada yang terpaksa gulung tikar.
Pengasas dan pengerusi kepada Richworks International, Datuk Dr Azizan Osman berkata, cabarannya berbeza ketika pandemik Covid-19 kerana ketika ini kos bahan mentah dan sebagainya naik mendadak.
Menurutnya, ini secara tidak langsung meningkatkan kos dan modal yang terpaksa dikeluarkan PKS termasuk membayar gaji pekerja.
“Semua ini menjadi penghalang untuk PKS meningkatkan keuntungan kerana mereka terpaksa berbelanja besar untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.
“Keadaan ini ditambah dengan persaingan dan kos lain yang melambung hingga ianya boleh dikategorikan lebih teruk berbanding zaman pandemik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan RichWorks International Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Turut hadir Presiden DPMM,Norsyarin Hamidon; Setiausaha Agung DPMM, Yazid Othman dan Pengarah Eksekutif RickWorks, Hasnita Ahmad.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan DPMM, Azizan berkata ianya merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan program mentor mente agar dapat meningkat prestasi perniagaan mereka.
“Seperti yang sedia maklum RichWork telah berjaya membimbing usahawan sehingga berjaya dan kelebihan yang ada pada kami dapat dikongsi bersama usahawan lain,” jelasnya.
Sementara itu, DPMM dengan kerjasama RichWorks akan menganjurkan Program Pembangunan Keusahawanan dalam usaha membantu memperkasakan lebih 30,000 usahawan Bumiputera di seluruh negara, mulai September ini.
Norsyahrin berkata, program tersebut akan bermula di Pulau Pinang dan pihaknya akan bertemu para usahawan di bawah DPMM yang memerlukan bantuan berhubung permasalahan perniagaan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!