Portfolio 10 Exco Terengganu diumum esok - MB

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu bersama portfolio masing-masing akan dipersembahkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pagi esok, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri berkata, 10 exco tersebut akan dimaklumkan tentang portfolio dan tugas masing-masing semasa mesyuarat pertama Kerajaan Negeri yang diadakan pada pagi.

"Saya sedang meneliti portfolio yang sedia ada dan tempoh ini selesaikan beberapa perubahan nama-nama bagi portfolio dengan mengambil kira kewajarannya.

"Ia selaras dengan kedudukan badan-badan atau agensi-agensi di peringkat kementerian Persekutuan sekali gus memudahkan pelaksanaan sebarang program kerajaan supaya tidak bertindih antara ahli-ahli exco.

"Insya-ALLAH, semua ahli exco yang angkat sumpah pada hari ini akan dimaklumkan tentang portfolio mereka. Selepas itu mereka terus bergerak (bertugas) dalam portfolio masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Syarqiyyah di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan lebih agresif dan komprehensif untuk menarik pelabur ke Terengganu sebagai fokus utama mengetuai pentadbiran negeri pada penggal ini.

Ujarnya, sudah tentu pelbagai cabaran perlu dihadapi bagi melaksanakan sesuatu gerak kerja pada masa hadapan namun akan merangka pelan yang lebih komprehensif dengan menarik pelabur ke Terengganu.

"Pada penggal pertama lepas, saya membawa sebuah kenderaan dalam gear satu. Kali ini saya tak masuk gear kedua namun terus ke gear ketiga kerana kita perlu bekerja lebih pantas untuk laksanakan gerak kerja di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ditambah pula dengan siapnya Projek Laluan Rel Pantai Timur selepas ini. Jadi banyak perkara-perkara yang saya sasarkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri mengambil pendekatan sama iaitu melaksanakan politik secara harmoni matang dan sejahtera untuk bekerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan.

"Setelah berakhirnya pilihan raya negeri, pada malam itu saya menerima beberapa mesej dari rakan-rakan menteri di peringkat persekutuan yang menyatakan mereka ingin bertemu untuk meneruskan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dengan negeri.

"Jadi saya rasa tiada masalah di mana kerajaan negeri akan terus usahakan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!