SOP REE akan diumumkan - Sanusi
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) akan diumumkan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah akan melakukan perkara tersebut selepas kertas cadangan perkara itu dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini.
“SOP (berkaitan REE) ada, Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri akan umumkan nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di sebuah pasar raya, dekat sini pada Selasa.
Jelasnya, semua polemik berkaitan perlombongan REE di Kedah perlu dihentikan selain meminta pemeriksaan turut dilakukan terhadap lombong-lombong di negeri lain.
"REE tidak haram, yang curi sudah ditangkap tetapi kita ikut prosedur jadi tak haram. Ada 59 lombong haram REE di seluruh negara sila pergi siasat di negeri lain bukan di Kedah sahaja.
“Jangan dok tuju kat Kedah sahaja. Ada 59 lombong REE di tempat lain, tak tanya pun mereka. Pergi tanya MB (Menteri Besar) Perak, MB Pahang dan MB Negeri Sembilan,” ujar beliau lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan SOP perlombongan REE kerana kertas cadangannya sudah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mineral Negara pada 8 Mei lalu.
Mesyuarat berkenaan telah dihadiri ahli Majlis Mineral Negara iaitu Menteri Besar setiap negeri atau wakil kepada Menteri Besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!