PM perlu atur kerja, laksana reformasi lawan rasuah
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera mengatur gerak kerja dan melaksanakan reformasi bagi melawan korupsi serta rasuah yang semakin tenat di negara ini.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Hamdan Daniel M Sharib berkata, dengan ada majoriti dua per tiga di Parlimen tentunya bonus kepada PMX untuk meneruskan agenda dalam melunaskan reformasi perundangan tanpa memerlukan sokongan daripada pihak pembangkang.
"Jangan pula jadi seperti tikus membaiki labu yang akhirnya merugikan negara. Gunakanlah kesempatan yang ada semaksimum mungkin agar rakyat mendapat faedah hasil dari kesejahteraan negara.
"Rakyat terus mendesak dan mengharapkan PMX melunaskan janji dalam usaha melawan korupsi sekali gus membuat reformasi institusi kepada tata kelola yang lebih kemas dan penuh integriti," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Anwar menunaikan janji melawan korupsi sistematik dan melaksanakan reformasi institusi kepada tata kelola lebih baik untuk akauntabiliti serta kestabilan.
Tambah Hamdan Daniel, peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat seharusnya digunakan sebaik mungkin agar pentadbiran negara berada di landasan yang betul.
"Rakyat menunggu formula yang terbaik daripada PMX dalam membuat pertimbangan untuk membanteras rasuah dan melaksanakan reformasi agar kestabilan ekonomi dan politik dapat dirasai oleh semua pihak," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!