Srettha Thavisin bakal senasib Pita Limjaroenrat?

Srettha dicalonkan oleh Pheu Thai pada awal bulan ini. - Foto: Agensi
Srettha dicalonkan oleh Pheu Thai pada awal bulan ini. - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Thailand bakal berdepan episod baharu drama politik selepas senator dilantik junta tentera dikatakan masih berbelah bahagi sama ada mahu menyokong taikun hartanah, Srettha Thavisin sebagai calon Perdana Menteri pada pusingan undi seterusnya.

Senator Seree Suwanpanont menegaskan kesemua 250 senator perlu menyemak kelayakan calon dan bertanyakan tentang kaedah menunaikan janji yang ditaburkan kempen Parti Pheu Thai seperti pemberian wang digital berjumlah 10,000 baht (RM1,310).

"Kami mahu mendengar penjelasan Srettha di Parlimen sebelum proses pengundian bermula," katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan Senator Wanchai Sornsiri kononnya lebih 90 peratus senator akan mengundi Srettha, 61, sedangkan masih tidak jelas majoriti daripada kalangan mereka akan berbuat demikian.

Menerusi perkongsian di Facebook, Wanchai menyatakan kebanyakan senator menyokong calon dikemukakan Pheu Thai kerana parti itu telah 'berpecah' dengan Parti Move Forward (MFP) yang mencetuskan kontroversi kerana merancang pindaan ke atas Undang-undang Lese Majeste.

"Situasi boleh berubah sebelum undian tersebut. Jika calon Perdana Menteri ke-30 gagal memenuhi kelayakan ditetapkan Perlembagaan, pencalonannya boleh ditarik balik.

"Saya bercakap secara umum dan tidak merujuk kepada Srettha yang dicalonkan Pheu Thai," jelas Seree.

Ketika ini, banyak pihak mula membuat spekulasi tentang tarikh pengundian tersebut selepas proses tersebut dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Artikel Berkaitan:

"Ia terpulang kepada Speaker Parlimen, Wan Muhamad Noor Matha," ujarnya.

Difahamkan, keputusan itu hanya dapat dibuat selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan pada Rabu untuk menerima petisyen berhubung tindakan penolakan Parlimen terhadap pencalonan semula pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, 42, sebagai Perdana Menteri sebagai berperlembagaan atau sebaliknya.

Sementara itu, Senator Kittisak Rattanawaraha juga senada dengan Seree yang berpendapat jumlah sokongan dalam kalangan mereka bukan majoriti seperti didakwa Wanchai.

Menurut sumber, Pheu Thai telah memeterai perjanjian dengan Parti Palang Pracharath (PPRP) yang bersetuju untuk mengundi Srettha sebagai pertukaran dengan sejumlah kuota kabinet.

Parti United Thai Nation (UTN) bagaimanapun belum mengesahkan sama ada akan menyertai gabungan bersama Pheu Thai yang akan menambah jumlah ahli Parlimen di bawah pakatan itu kepada 315 orang. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!