Anak trauma selepas jadi mangsa cuai pengasuh taska - Ibu

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bayi perempuan yang menjadi mangsa kecuaian seorang pengasuh taska di Taman Mutara Rini, di sini pada Mac lepas, didakwa trauma sejak kejadian itu.

Ibu kepada bayi berusia sembilan bulan itu, Farah Dayana Izzati Mohamed Nasir, 26, berkata, anak tunggalnya itu sering menangis ketakutan apabila didekati orang dewasa yang tidak dikenali dipercayai trauma dengan kejadian yang menimpanya.

"Dia kelihatan takut dan tidak mahu dengan orang dewasa, tetapi apabila dengan kanak-kanak lain dia baik-baik sahaja.

"Di pusat jagaan baharu pula tidak semua cikgu (pengasuh) dia okay, sebaliknya dia hanya mahu dengan seorang cikgu sahaja, jika cikgu itu tiada dia akan menangis," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Beliau yang merupakan seorang guru dan ahli keluarganya hadir pada prosiding jatuh hukum di mahkamah itu untuk mendengar hukuman dikenakan terhadap pengasuh taska tersebut Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28.

Farah Dayana Izzati berkata, beliau sekeluarga menerima keputusan dibuat mahkamah, bagaimanapun terkilan apabila hingga hari ini tiada wakil pihak pengurusan taska, pengasuh atau keluarga pengasuh bertemu dengannya untuk meminta maaf.

"Lega apabila pengasuh dijatuhkan hukuman, tetapi disebabkan kejadian itu saya perlu keluar duit lagi untuk hantar anak ke pusat jagaan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila hantar ke pusat jagaan baharu, bukan anak sahaja mengalami trauma saya juga trauma asyik memikirkan adakah anak saya dijaga dengan baik atau sebaliknya," katanya.

Terdahulu, Nurul Shahira A'shiqin didenda RM40,000 atau dikenakan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dan seorang bayi lelaki berumur tujuh bulan di sebuah taska.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM20,000 tidak bercagar bagi setiap pertuduhan dan menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan mulai hari ini bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Pada 15 Mei lepas, tular dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat di media sosial memaparkan seorang wanita sedang mengasari seorang bayi yang sedang menangis. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!