Kurang maklumat punca stigma kepada penghidap HIV, AIDS
KUALA LUMPUR - Kekurangan maklumat dan salah tanggapan tentang HIV serta AIDS telah menyumbang kepada stigma dan diskriminasi kepada penghidapnya.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, virus berkenaan bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi meresap dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, termasuk ekonomi, sosiobudaya dan dimensi politik.
Justeru, beliau menekankan tentang pentingnya peranan yang dimainkan oleh entiti kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan serta media dalam menyediakan sokongan kepada golongan itu.
“Peranan media dalam mencapai matlamat menamatkan AIDS menjelang 2030 memang tidak dapat dinafikan. Mereka mempunyai kuasa besar untuk membentuk persepsi, menyebarkan maklumat yang tepat dan menggerakkan komuniti ke arah pencegahan, rawatan serta langkah sokongan yang berkesan.
“Dalam era di mana maklumat bergerak dengan pantas dan meluas, media berfungsi sebagai jambatan antara pakar, penggubal dasar, penyedia penjagaan kesihatan serta orang awam.
“Apabila menyampaikan kandungan yang diselidik dengan baik dan berfakta, media boleh menghapuskan mitos, salah tanggapan dan stigma mengenai HIV/AIDS.
"Pelaporan yang tepat dan penceritaan yang menarik boleh memecahkan halangan untuk memahami serta mewujudkan empati, memupuk persekitaran belas kasihan termasuk penerimaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Norhayati Rusli dalam Majlis Anugerah Media Red Ribbon, di sini, pada Selasa.
Program itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Puan Sri Normah Hashim.
Tambah Zaliha, pada tahun 2002, jumlah kes HIV baharu melonjak kepada 6,978 kemudian menurun kepada 5,830 pada tahun 2006 dan terus menurun kepada 3,177 pada 2022.
Trajektori menurun ini adalah bukti kepada usaha kolektif pelbagai pihak berkepentingan, merangkumi badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan individu, yang kesemuanya telah memainkan peranan dalam mencapai hasil yang membanggakan.
Sementara itu, Dr Adeeba berkata, Terapi Antiretroviral dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit HIV dan AIDS, sekali gus mengurangkan risiko penularan jangkitan.
Ujarnya, kemajuan bidang perubatan dapat membantu pesakit HIV dan AIDS dalam mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.
“Rawatan yang rapi mampu mencegah penularan epidemik ini kepada pasangan, ibu bapa atau anak-anak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!