Sinar Harian raih anugerah Red Ribbon Media Awards 2023
KUALA LUMPUR - Wartawan Sinar Harian, Mohd Izzatul Izuan Tahir berjaya membawa pulang Anugerah Cemerlang Media Cetak sempena ‘Red Ribbon Media Awards 2023’ anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF).
Beliau memenangi anugerah tersebut menerusi artikel bertajuk 'Perang AIDS Belum Berakhir' dan memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.
Anugerah itu dibuat sebagai mengiktiraf kecemerlangan kewartawanan dan kreatif melalui semua saluran media dalam usaha menamatkan AIDS.
Mohd Izzatul Izuan berkata, kemenangan itu adalah hasil kerja berpasukan dalam kalangan rakan editorial.
“Ia adalah selari dengan tujuan dan hasrat karyawan Sinar Harian yang sentiasa ingin menghasilkan laporan pemberitaan terbaik dan sahih.
"Kemenangan ini adalah hasil komitmen secara berpasukan dan bukan usaha saya seorang, sebaliknya dibantu rakan setugas serta pihak editorial bagi menghasilkan bahan berita berkualiti.
"Terima kasih atas anugerah ini yang secara tidak langsung dapat menaikkan semangat dan motivasi kami untuk terus melaporkan berita-berita bermutu setiap hari," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas Izuan, artikel tersebut berkisarkan tentang kehidupan peribadi pesakit HIV yang telah 'hidup' bersama virus tersebut selama bertahun dan menerima pelbagai stigma daripada masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Norhayati Rusli berkata, sesetengah pesakit tidak mendapatkan rawatan antiretroviral kerana pandangan masyarakat tentang penyakit tersebut.
"Media turut berperanan dalam menamatkan AIDS menjelang 2030 dengan membuat laporan dalam membentuk naratif, mempengaruhi sikap dan tindakan merangsang masyarakat tentang virus itu.
"Penyampaian maklumat daripada media tidak boleh dipertikaikan kerana mereka mampu meningkatkan kesedaran orang ramai yang terjejas oleh HIV dan AIDS serta menggalakkan mereka mendapatkan rawatan untuk mencegah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!