Tak adil sifatkan keputusan PRN sebagai referendum rakyat - Iswardy
SHAH ALAM - Tidak adil untuk menyifatkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri itu sebagai satu referendum rakyat kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Kerja Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni berkata, ia berikutan istilah referendum itu merujuk kepada pungutan suara yang dilakukan secara keseluruhan, bukan melibatkan separuh negeri sahaja.
“Awal dahulu kita pernah buat wacana sebegini, saya katakan bahawa di Pantai Timur, kita nampak gelombang dekat situ tetapi kalau bahagian selatan umpamanya di Melaka, Negeri Sembilan, Johor ceritanya berbeza.
“Kenapa tidak ambil itu sebagai referendum? Perikatan Nasional (PN) kalah teruk di ketiga-tiga negeri tersebut,” katanya ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar siri 408 bertajuk ‘Pasca PRN: Rakyat Sudah Bersuara’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel ialah veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar; Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Patriots Asia, Jamalee Bashah manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Iswardy turut mengulas perkaitan referendum itu dengan prestasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kawasan Negeri Sembilan dan Selangor.
“Kita tengok Negeri Sembilan dan juga Selangor umpamanya, kononnya Bersatu nak ‘take over’ (ambil alih) di kawasan itu tetapi akhirnya kalah.
“Kenapa kita tidak kata itu sebagai referendum penolakan Bersatu di negeri-negeri tersebut? Sekali lagi kalau saya gunakan hujah yang sama, itu adalah tidak adil untuk mereka juga,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai pertambahan kerusi PN di Pulau Pinang dan Selangor yang berlaku dalam PRN kali ini, Iswardy akui penolakan pengundi terhadap UMNO itu memang berlaku dan pengundi muda banyak beralih kepada PN.
“Sebab saya berada di lapangan di Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.
“Di lapangan itu, saya nak cerita, ada ahli UMNO yang berkempen supaya mengundi PN. Sabotaj ini memang berlaku.
“Sebenarnya apa yang kita nampak, petamanya, penolakan itu bukan sekadar PN membina gelombang tetapi juga di dalam UMNO itu sendiri, kita nampak ada konflik yang perlu diselesaikan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!