Semak semula pelan urus aset pegawai kerajaan

Kerajaan perlu menyemak semula pelan pengurusan deklarasi aset pegawai-pegawai kerajaan terutama membabitkan pegawai berpangkat tinggi. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurhayati, Fazril)
Kerajaan perlu menyemak semula pelan pengurusan deklarasi aset pegawai-pegawai kerajaan terutama membabitkan pegawai berpangkat tinggi. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurhayati, Fazril)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyemak semula pelan pengurusan deklarasi aset pegawai-pegawai kerajaan terutama membabitkan pegawai berpangkat tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pelan pengurusan sedia ada dilihat masih mempunyai kelompongan yang perlu diperbaiki bagi mengekang budaya rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan berpangkat tinggi.

Menurutnya, satu sistem atau prosedur operasi standard (SOP) berhubung pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam perlu diperkemaskan bagi meletakkan ia di standard tertinggi.

“Pemantauan kepada pengisytiharan yang dibuat boleh menjadi sebahagian langkah awal untuk mencegah perbuatan rasuah oleh pegawai-pegawai yang tidak amanah.

“Yang lebih penting adalah pemantauan yang dilakukan selepas mereka mengisytiharkan harta. Orang sekeliling juga perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

“Jika didapati kehidupan mereka melebihi yang selayaknya, segeralah membuat laporan dan tindakan ini juga saya lihat sebagai salah satu usaha mengekang rasuah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini mengenai penglibatan penjawat awam gred 54 dalam rasuah yang membimbangkan.

Menurut Azam, kes berprofil tinggi yang menunjukkan peningkatan sejak 2018 itu seolah-olah menjadi perkara biasa dan kebiasaannya melibatkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan juga perlu melabur untuk penyediaan sistem penyeliaan, audit dan pengawasan yang lebih berkesan.

“Untuk itu digitalisasi sistem juga harus diperkasakan agar dapat mengurangkan interaksi terus dengan sektor awam yang selama ini menjadi ruang rasuah berlaku,” tegasnya.

Jelasnya lagi, interaksi dalam talian juga perlu mempamerkan ketelusan data dan fakta perolehan, tender dan sebagainya yang boleh diakses oleh orang awam untuk mengelakkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam mana-mana perolehan atau urusan bersama pegawai kerajaan.

“Ruang terlibat dengan orang awam sangat besar oleh itu peraturan dan prosedur berkaitan pusingan kerja (rotation), kenaikan pangkat, profesionalisme penjawat awam dan latihan perlu disemak semula agar ia seiring dengan isu dan masalah rasuah dihadapi sektor awam pada waktu ini,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh menyifatkan pendedahan Azam berkenaan sebagai sesuatu yang mengejutkan, malah memalukan.

Katanya, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pegawai kerajaan dan penjawat awam gred 54 ke atas yang rata-ratanya berada pada posisi pengurusan tertinggi dalam sesuatu jabatan.

“Bagi saya penjawat awam yang terlibat dengan rasuah adalah pengkhianat kepada negara. Mereka telah menyalahi aku janji mereka sebagaimana yang dilafazkan dalam ikrar perkhidmatan awam,” katanya.

Justeru, beliau mendesak supaya kerajaan bertindak segera dalam menilai semula sistem latihan perkhidmatan awam dan juga meningkatkan penguatkuasaan aspek tindakan tatatertib khasnya bagi isu-isu melibatkan pegawai kerajaan gred tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!