Gelombang haba ciptaan 'tangan manusia'

Perubahan suhu tersebut dikatakan turut berpunca daripada tangan manusia berterusan membakar bahan api fosil yang memanaskan bumi, selain fenomena lautan semakin panas menjadi pendorong utama cuaca lebih ekstrem berbanding biasa. - Gambar hiasan
Perubahan suhu tersebut dikatakan turut berpunca daripada tangan manusia berterusan membakar bahan api fosil yang memanaskan bumi, selain fenomena lautan semakin panas menjadi pendorong utama cuaca lebih ekstrem berbanding biasa. - Gambar hiasan
A
A
A

ADAKAH kita semua menyedari bahawa cuaca panas pada tahun ini lebih terik berbanding tahun sebelumnya?

Bayangkan, jarum jam baru menunjukkan 9 pagi tetapi seolah-olah ketika itu sudah 12 tengah hari kerana teriknya cahaya matahari. Jemur kain pun cepat sahaja keringnya.

Walhal, secara logiknya kita rasa masih terlalu awal untuk suhu panas berlaku seawal pagi yang menyebabkan kita tidak boleh berlama-lamaan di luar rumah atau perlu memakai topi bagi melindungi diri daripada terik mentari.

Sebenarnya, apa terjadi pada hari ini disebabkan oleh peningkatan gelombang haba yang melanda dunia baru-baru ini.

Keadaan terik akibat fenomena cuaca El Nino memaksa orang ramai berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kesan penyakit terutama strok haba.

Perubahan suhu tersebut dikatakan turut berpunca daripada tangan manusia berterusan membakar bahan api fosil yang memanaskan bumi, selain fenomena lautan semakin panas menjadi pendorong utama cuaca lebih ekstrem berbanding biasa.

El Nino dicirikan daripada suhu lautan yang lebih panas merentasi Lautan Pasifik dan mempunyai kesan meluas terhadap corak cuaca di seluruh dunia.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menjangkakan suhu dunia berkemungkinan lebih panas dengan melepasi had ditetapkan dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Dalam kemas kini iklim tahunannya, WMO yang ber-pangkalan di Geneva menjelaskan, antara 2023 hingga 2027, wujud 66 peratus kemungkinan suhu bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya satu tahun.

Artikel Berkaitan:

Fenomena tersebut boleh disaksikan di negara-negara Barat dan Eropah. Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang sedang dilanda kebakaran hutan besar telah memberi amaran suhu bakal melonjak sehingga melebihi 40 darjah Celsius disebabkan krisis iklim.

Paling teruk di negeri Phoenix, AS yang telah mencatat suhu mencapai 43 darjah Celsius selama 16 hari berturut-turut.

Negara-negara yang mengeluarkan amaran sama termasuk Itali, Maghribi, Argentina, Sepanyol dan Portugal – suhu akan datang pada tahun seterusnya berkemungkinan mencecah hampir 50 darjah Celsius, sekali gus akan membahayakan kesihatan manusia dan mencetuskan krisis makanan global.

Tidak ketinggalan negara Asia Tenggara seperti China, Jepun, India, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia turut menerima tempias gelombang panas sehingga memaksa langkah keselamatan diambil bagi menghalang kesan bahaya cuaca panas.

Baru-baru ini, Pusat Meteorologi Kebangsaan China telah mengeluarkan amaran tahap jingga yang menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri daripada strok haba dan penyakit lain yang berkaitan.

Penelitian baharu di Nature Medicine pada Jun lalu mendapati lebih 61,000 orang maut akibat gelombang panas sepanjang musim panas yang memecahkan rekod di Eropah tahun lalu.

Majoriti mereka yang meninggal dunia itu ialah warga emas berusia 80 tahun ke atas, sementara 63 peratus merupakan golongan wanita.

Bagaimanapun, tahun ini jumlah tersebut dianggarkan melebihi paras sepatutnya, lebih-lebih lagi kesan pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia masih merekodkan kematian tinggi.

Terbaharu, menurut kajian Climate Central, purata suhu global dan panas melampau mencatat rekod pada Julai lalu.

Hasil kajian itu juga menunjukkan sekurang-kurangnya dua bilion orang di seluruh dunia terkesan dengan perubahan iklim melampau itu setiap hari pada bulan Julai.

Bagi membendung masalah pemanasan global, pelbagai langkah yang signifikan perlu diambil oleh semua pihak.

Isu tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana ia banyak mendatangkan mudarat kepada semua hidupan di muka bumi ini dan manusia tidak terkecuali.

Setiap pihak perlu menggembleng tenaga bagi menjalankan mekanisme terbaik dalam mengekalkan simbiosis antara pemeliharaan alam sekitar dan kemajuan dalam pembangunan ketamadunan manusia sejagat.

Salah satunya, kita semarakkan konsep kehidupan lestari kepada komuniti dan masyarakat. Ingat, menjaga dan melindungi alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab masyarakat keseluruhannya.

Semoga usaha tersebut mampu memberi impak besar terhadap perubahan iklim.

* Zulhilmi Hat ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!