'Elon Musk bukan temberang'
JOHANNESBURG - Bapa Elon Musk, Eroll tampil mempertahankan anaknya dan mendakwa manusia terkaya di dunia itu bersedia untuk turun ke gelanggang seni bela diri campuran (MMA) pada bila-bila masa untuk berhadapan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg.
Namun menurut Eroll, Elon terlebih dahulu perlu menjalani pemeriksaan dan pembedahan sekiranya perlu kerana kecederaan lama pada bahagian leher serta belakang badan.
Eroll tampil membuat kenyataan itu dari kediamannya di Afrika Selatan selepas Zuckerberg mendakwa Elon memberi pelbagai alasan dan tidak bersungguh-sungguh dengan perlawanan tinju atau MMA yang dihebahkan sejak Jun lalu.
"Elon tercedera semasa bermain ski tidak berapa lama dahulu. Dia jatuh dan tergolek dengan laju.
"Peristiwa itu sudah lama berlaku. Saya cuma diberitahu keadaannya okey," katanya sambil menegaskan Elon tidak sesekali tampil untuk memberi alasan murahan demi mengelak pertarungan tersebut.
Setakat ini tiada tarikh rasmi berhubung pertembungan dua taikun teknologi itu, namun kerajaan Itali dilaporkan bersedia menjadi hos kepada pertarungan untuk tujuan amal di Rom.
Presiden UFC, Dana White juga menawarkan gelanggang Octagon di Las Vegas sekiranya pertarungan itu menjadi kenyataan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!