Bekas ADUN Melaka meninggal dunia
MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Melaka, Datuk Ab Karim Sulaiman meninggal dunia di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah pada malam Selasa.
Allahyarham yang pernah memegang jawatan sebagai Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam meninggal dunia dipercayai akibat sakit tua pada jam 9.25 malam.
Berita pemergiannya itu turut dikongsikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.
Allahyarham yang mesra dipanggil 'Kapten Karim' memulakan karier sebagai wakil rakyat selepas dipilih sebagai ADUN Kawasan Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10, sebelum menjadi ADUN Tanjung Bidara selama dua penggal bermula 2004 hingga 2013.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Fatimah MD Nor dan empat orang anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!