Dr Mohammad dilantik Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang
Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang itu juga diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Dr Mohammad antara tujuh muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang.
Majlis pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang, di sini pada Rabu.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee.
Pada majlis itu, ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selain akan mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.
Pada penggal lalu, Jagdeep mengetuai Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa.
Selain Jagdeep, turut dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri pada penggal ini ialah ADUN Tanjong Bungah, Zairil Khir Johari yang akan mengetuai Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital.
Dalam pada itu, ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perancang Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian pada 2008 kali ini diberi tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.
Sementara itu, calon BN daripada UMNO yang menang di kerusi Sungai Acheh, Rashidi Zinol dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar.
Tiga ADUN yang berjaya mengekalkan kemenangan pada pilihan raya kali ini iaitu Lim Siew Khim (Sungai Pinang); H’ng Mooi Lye (Jawi) dan Daniel Gooi Zi Sen (Padang Lalang) turut dilantik dalam barisan MMK kali ini.
Siew Khim dilantik mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Mooi Lye akan mengetuai portfolio Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa manakala Daniel Gooi akan mempengerusikan Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan.
ADUN Perai, Datuk Seri S Sundarajoo (Perai) dilantik mengetuai Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar manakala ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol pula diberi tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi.
Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas memenangi majoriti dua pertiga iaitu 29 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi; PKR (tujuh); Amanah (satu); dan BN (dua); manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 11 kerusi.
Pada Ahad, Pengerusi PH, Chow Kon Yeow telah mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri bagi penggal kedua di hadapan Tun Ahmad Fuzi di Seri Mutiara.
Senarai Barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Ketua Menteri: Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota)
Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan
Komunikasi
Timbalan Ketua Menteri I: Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid (PKR-Batu Maung)
Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat
Timbalan Ketua Menteri II: Jagdeep Singh Deo (DAP-Dato Keramat)
Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi
Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar: Rashidi Zinol (BN-Sungai Acheh)
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital: Zairil Khir Johari (DAP-Tanjung Bungah)
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif: Wong Hon Wai (DAP-Paya Terubong)
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam: Lim Siew Khim (DAP-Sungai Pinang)
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa: H’ng Mooi Lye (DAP-Jawi)
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan: Daniel Gooi Zi Sen (DAP-Padang Lalang)
Exco Perumahan dan Alam Sekitar: Datuk Seri S Sundarajoo (DAP-Perai)
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi : Fahmi Zainol (PKR-Pantai Jerejak)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!