Messi bawa Inter Miami ke final

Messi - Foto AFP
Messi - Foto AFP
A
A
A

LIONEL Messi meneruskan rentak luar biasa bersama Inter Miami apabila membantu pasukan itu melangkah ke final Piala Liga menewaskan Philadelphia Union 4-1 pada Rabu.

Bintang sensasi Argentina itu telah mencatatkan sembilan gol dalam enam penampilan untuk Miami sejak berpindah ke kelab itu pada Jun lalu.

Pemain antarabangsa Venezuela, Josef Martinez, bekas rakan sepasukan Messi di Barcelola, Jordi Alba dan pemain gantian David Ruiz turut menjaringkan gol buat Miami dengan Alejandro Bedoya menjadi penjaring gol tunggal Philadelphia.

Keputusan itu bermakna Messi akan mengemudi Miami untuk aksi final ke-42 dalam kariernya apabila kejohanan berkonsepkan seperti Piala Dunia itu mencapai kemuncaknya pada Sabtu.

Kemenangan itu juga menjamin Miami tempat dalam Piala Juara-Juara Concacaf tahun depan.

Separuh akhir di Philadelphia itu sepatutnya menjadi tugasan paling sukar dihadapi Messi sejak dia membuat penampilan sulung untuk Miami pada 21 Julai selepas berpindah dari Paris Saint Germain (PSG).

Philadelphia merupakan salah sebuah pasukan terkuat dalam MLS, dan ketiga dalam kedudukan di Eastern Conference manakala Miami berada di kedudukan paling bawah.

Philadelphia juga hampir tidak dapat ditewaskan di tempat sendiri dan hanya kalah sekali dalam 38 perlawanan di Subaru Park.

Artikel Berkaitan:

Namun, kehadiran Messi meleburkan rekod cemerlang pasukan lawan itu yang turut gagal memberikan saingan kepada Inter Miami dalam perlawanan separuh akhir tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!